Ahad, 22 Januari 2017

Batalkah Wudhu Jika Bersentuhan Dengan Kanak-Kanak Bukan Islam?

Batalkah Wudhu Jika  Bersentuhan Dengan Kanak-Kanak Bukan Islam?

Salah satu perkara membatalkan wudhu ialah bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan  yang bukan mahram dengan tidak berlapik.  Sebaliknya wudhu tidak batal jika persentuhan  kulit berlaku antara sesama jenis, sesama khuntsa, khuntsa dengan lelaki atau  khuntsa dengan perempuan sama ada mereka Islam atau
bukan Islam.

Demikian juga halnya dengan yang melibatkan kanak-kanak bukan Islam. Hukum  lelaki dewasa dan perempuan dewasa bersentuhandengan kanak-kanak bukan Islam adalah sama juga dengan kanak-kanak Islam dalam perkara wudhu ini sebagaimana menurut pendapat para ulama fiqh.

Berdasarkan keterangan di atas, apa yang dapat difahami, tiada had umur tertentu bagi menentukan kanak-kanak yang batal dan yang tidak batal wudhu apabila bersentuhan dengannya. Tetapi memadai dengan  berpandukan pada  keyakinan dan pengetahuan seseorang dalam menilainya serta dengan berpandukan kepada  ‘uruf atau kebiasaan sesuatu tempat dan masyarakat.

Wudhu tidak batal jika menyentuh atau tersentuh kulit bayi atau kanak-kanak yang  pada zahirnya tidak ada kemungkinan syahwat dan tidak menimbulkan syahwat.

Namun perlu diingat, wudhu akan tetap batal jika menyentuh atau tersentuh kemaluan walaupun kemaluan bayi atau kanak-kanak kerana menyentuh atau tersentuh kemaluan dengan jari atau bahagian dalam tangan (tapak tangan) yang tidak berlapik sama ada sengaja atau tidak sengaja juga merupakan antara perkara yang
membatalkan wudhu.


Selain itu, wudhu ahli keluarga angkat juga akan batal jika bersentuhan dengan anak angkat bukan susuan kepada ibu angkat apabila anak tersebut sudah mencapai tahap memiliki syahwat kerana kedudukan hubungan anak angkat dengan keluarga angkat tetap tidak berubah seperti asalnya. Dia tetap dianggap orang asing dalam lingkungan keluarga angkatnya kecuali  jika  ada pertalian mahram atau  setelah disusukan oleh ibu  angkatnya dengan  mengikut dan memenuhi syarat penyusuan yang ditetapkan syara‘.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan